Sunday, May 23, 2010

SITI KHADIJAH r.a, SRIKANDI PEJUANG ISLAM & PENEMAN HATI RASULULLAH s.a.w

Salam....Kisah Srikandi Syurga kali ini ialah Siti Khadijah Binti Khuwailid....Srikandi pejuang Islam yang membantu Rasulullah s.a.w.

“Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”

Begitulah Rasulullah s.a.w menggambarkan keperibadian Siti Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama baginda. Seorang isteri sejati, Muslimah yang segenap kemampuan diri berkorban demi kegemilangan dan keagungan Islam.

Siti Khadijah r.a adalah wanita pertama yang menyatakan keimanannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau banyak membantu dalam meneguhkan tekad Rasulullah s.a.w ketika menyebarkan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya, dalam menjalankan tugas dakwah menegakkan kalimah tauhid. Inilah keistimewaan dan keutamaan Saidatina Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang sentiasa berada di belakang Rasulullah s.a.w.

Saidatina Khadijah merupakan wanita kaya dan terkenal. Beliau boleh saja hidup bermewah-mewah dengan hartanya sendiri. Bagaimanapun, semua itu dengan rela dikorbankannya demi memudah dan meringankan tugas-tugas suaminya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa beliau merupakan wanita yang gigih mendorong semangat dan usaha ‘pahlawan’ umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan rumah tangga dan masyarakat. Sikap inilah yang menjadi salah satu sumber kekuatan Rasulullah s.a.w sepanjang kehidupan mereka bersama.

Saidatina Khadijah adalah seorang srikandi yang berdiri teguh menyokong suaminya, Rasulullah s.a.w. Ummul Mukminin ini mendampingi Rasulullah s.a.w dalam keadaan suka dan duka, reda dan tenang, sabar dan senantiasa bertawakal dan mengharapkan keberkatan Allah s.w.t pada saat-saat kesukaran dalam menyebarkan syiar Islam. Kepayahan dan kesanggupan Saidatina Khadijah dalam bersama-sama berjuang menegak dan menyebarluaskan agama Islam serta menghadapi cabaran merupakan satu jihad yang terpuji. Kasih dan sayang Rasulullah s.a.w terhadap Saidatina Khadijah begitu mendalam hingga ketika beliau meninggalkan alam yang fana ini, Rasulullah s.a.w menamakan tahun itu sebagai ‘Amil Huzni’ yang menggambarkan tahun yang begitu sedih. Gambaran ini jelas membuktikan bahawa peranan dan sumbangan Ummul Mukminin dalam sejarah Islam begitu hebat dan haruslah dijadikan kebanggaan khususnya kepada kaum wanita dalam usaha menghayati dan mencontohi akhlak terpuji Saidatina Khadijah Al-Qubra ini.

Saidatina Khadijah juga merupakan peneman hati Rasulullah ketika Baginda berada dalam ketakutan..Kisah ini berlaku ketika Rasulullah menerima wahyu pertama di Gua Hira'...ketika Baginda berada dalam ketakutan, Siti Khadijah menjadi peneman Baginda.....menyelimut Naginda yang dalam ketakutan...menunggu dengan sabar sehingga keadaan reda, barulah Siti Khadijah bertanya kepada Baginda apa yang berlaku....Begitu beradabnya Siti Khadijah dengan suaminya, Rasulullah s.a.w.

Inilah Srikandi Islam yang menjadi contoh dan ikutan kepada wanita Islam. Mudah-Mudahan kita mendapat panduan dan barkah daripada srikandi Siti Khadijah r.a.


SITI KHADIJAH

Siti Khadijah srikandi sejati

Kaulah lambang cinta sejati
Srikandi pertama tika islam bermula
Hatimu menyalakan keyakinan
Hartamu membuktikan pengorbanan

Rasul keseorangan engkaulah teman
Dia tersisih engkau memilihnya
Dia terbuang engkau menyayanginya
Kerana iman kau sanggup berjuang

O wo...
Siti Khadijah namamu indah
Qudwah hasanah tauladan ummah
Jikalau rasul terpinggir
Engkaulah insan terhampir

Siti Khadijah mujahidah solehah
Agung jasamu dipersada sejarah
Pemergianmu ditangisi nabi
Hingga kini tiada pengganti

Sunyi jalan menuju Allah
Menggamit hati mencari teman
Indah jalan menuju allah
Jika teman seperti Khadijah
Masih ada lagi...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...